Teman-teman

Tuesday, June 18, 2013

Selamat Hari Bapa

Bersempena hari bapa, isteriku telah buat laksa penang kegemaranku. Sebenarnya setiap hari merupakan hari bapa. Saja kami buat begitu dengan harapan kasih sayang terus bersemin antara kami.


Aku pula ke pekan membeli buah durian. Nak cari yang baik juga sempena meraikan hari bapa. Walaupun di Penang durian banyak juga tapi tidaklah begitu murah. Aku cari yang baik untuk kami.


Aku juga tidak lupa kepada kedua-dua anakku yang mengucapkan selamat hari bapa. Apa yang aku beli begitu juga aku beli pada mereka. Barulah aku boleh makan.


Buah yang kurang elok isteriku buat kuah durian. Aku cukup suka dengan kuah durian. Selalunya aku akan cicah dengan roti. Kadang-kadang aku akan makan dengan pulut.


Monday, June 17, 2013

Buah Sentul

Aku mengajak isteriku ke rumah ibu mertuaku. Buah sentul sudah memenuhi pokok. Ketika sampai kelihatan  dari jauh warna kekuningan buah sentul. isteriku tidak begitu menggemari buah sentul sebab rasanya yang masam. Aku pula lebih suka buah sentul dibuat jeruk.


Aku mengambil galah lalu mengait. Buah jatuh kedalam sarung yang dibuat khas. kalau jatuh kebawah alamat tak boleh makan la buah ini. isteriku berminat nak mengait buah tapi bila dicubanya tidak berjaya


Pokok yang berusia berpuluh tahun sudah membesar. Pangkal pokok sudah menjadi besar untuk dipeluk. Aku hanya mengait dari bawah dengan menggunakan galah. kalau belah bawah sudah habis alamat kena panjatlah pokok ini.


Cantik juga buah yang berada diatas. Warna kuning begitu menyerlah. kalau sebelah bawah warnanya kuning bercampur hijau. Maknanya belum masak betul. Kalau untuk dibuat jeruk jenis begini amat baik sekali.


Isinya begitu gebu sekali. Kalau buahnya masak betul maka isinya terasa manis. Kalau diletakkan kicap maka makan 4 atau 5 biji pun tak cukup.

Saturday, June 15, 2013

Sudah 6 tahun Rupanya

Hari ini sekali lagi aku menolong isteriku di pasar malam walaupun aku tahu yang aku sendiri letih sebab baru pulang dari kerja. Aku tak sampai hati biarkan dia berniaga seorang diri. Isteriku menyuruh aku berehat dan biarkan dia saja yang berniaga tapi aku juga seronok dengan perniagaan. Lagi pun dapat berjumpa rakan- rakan yang datang membeli di pasar malam.

Ketika sibuk melayan pelanggan, aku di tegur seorang wanita. Tersenyum dia.
" Abang Budiman tak kenal saya ke ". Tanya wanita tersebut. Aku tersenyum. Kalau aku kata tak kenal takut dia terasa hati pula.
" Abang Budiman la yang cukur rambut anak saya dan tahnik ". Katanya. Barulah aku ingat ibunya datang meminta tolong aku mencukur cucunya. Kata ibunya sudah tiada orang lain yang sanggup. Aku kata yang aku tidak pandai. Sekadar menolong andaikata tidak ada orang lain boleh la. Alhamdulillah aku meminta mereka datang ke surauku. Memang ada keberkatannya bila dilakukan disurau. Rambut anaknya begitu mudah di cukur. Selesai semua barulah aku melakukan tahnik. Arwah Siti Aishah bertinda memegang anak tersebut.

" Sudah berapa tahun umur anak sekarang ". Aku bertanya wanita tadi.
" Sudah 6 tahun abang Budiman ". Terdiam aku. Tak sangka ya masa berlalu begitu cepat.
" Macam mana keadaan anak sekarang ". Aku terus bertanya
" Kih kih. Sebiji ikut perangai abang Budiman. Suka buat lawak". Isteriku tersenyum bila mendengar kata- kata wanita tadi.....

Wednesday, June 12, 2013

Genap 4 Tahun

Hari ini genap 4 tahun perkahwinan aku bersama isteriku Rosnah. Suka duka silih berganti. Aku berdoa semoga Allah memberkati perkahwinan kami berdua. Aku masih ingat akan kata-kata arwah isteriku sewaktu berada di dalam kapal terbang firefly. Kami pulang dari Kelantan setelah berubat di sana. Semasa pergi isteriku kelihatan sungguh ceria. Bila pulang nampak dirinya begitu tidak bermaya.

Siti Aisyah memegang erat tanganku. Wajahnya sayu memandang aku. Aku dapat merasai denyutan jantung yang begitu laju di dadaku.
" Bang.....Kalau Siti tak ada, abang kahwin la lain. In sya Allah Siti akan sentiasa mendoakan kebahgian abang ". Ketika itu aku hanya mampu mengalir airmata. Sudah berapa kali dia meminta aku berkahwin lain jika dia sudah tiada. Aku menggengam erat tangannya kembali. Lidahku kelu untuk berkata- kata. Tika itu aku sudah dapat merasai saat- saat perpisahan kami. Aku tidak sanggup menghadapinya Ya Allah. Akhirnya kau pergi jua meninggalkan segala memori indah.

Siti Aisyah. Ketahuilah bahawasanya abang bahagia di samping Kak Rosnah. Terlalu besar pengorbananmu dan anak- anak terhadap abang. Semoga Jannah merupakan tempat. Semoga kedua- dua anak kita di beri kebahgiaan di dunia dan juga akhirat. Abang akan sentiasa berdoa untukmu. Abang akan kerap menziarahi pusaramu dan abang akan juga kerap menziarahi ibumu sepertimana yang telah abang janjikan. Terima kasih tak terhingga kepada dua orang sahabatku Puan Norzilah dan Puan Fariza yang mempertemukan aku dengan Rosnah atas izin Allah. Semoga Allah memberi kebahgiaan kepada keluarga mereka dan di beri kesihatan yang baik. Terima kasih juga kepada kedua anak- anak ayah Siti Zinnirah dan Hermawan. Semoga Allah juga berikan kebahgian kepada anak-anak bila bila berkeluarga kelak. Terima kasih kepada sahabat- sahabat yang meraikan perkahwinan kami berdua 4 tahun yang lalu. Semoga keluarga sahabat- sahabat semua dalam peliharaan Allah.

Terima kasih juga kepada kaum keluargaku abang, kakak, ipar duai serta adik- adik yang banyak memberi sokongan kepadaku ketika dugaan melanda. Semoga Allah membalas segala kebaikan dan keprihatinan kalian kepadaku. Al Fatihah buat Siti Aisyah dan ibu serta ayahku.

Kebesaran Allah

Gambar yang aku rakam ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.














Tuesday, June 11, 2013

Macam Mana Aku Kurus

Sudah seminggu aku mendapat berita bapa angkatku tidak sihat. Serangan gout membuatkan dia tidak dapat berjalan. Aku pula begitu sibuk dengan tugas dan aktiviti keluarga. Anak saudaraku akan melangsungkan perkahwinannya. Aku di minta menjadi DJ. Selepas selesai kenduri badan menjadi letih. Panas badan mula terasa. Cepat-cepat aku telan panadol dan alhamdulillah badan kembali segar. Aku mengajak isteriku ziarah bapa angkatku tapi dia pula yang demam.
" Abang pergilah ziarah dulu. Nanti Nah baik demam kita ziarah lain ". Aku setuju dengan pendapat isteriku. Terus aku keluar dengan motosikal menuju kerumah bapa angkatku.

Aku memberi salam dan pintu dibuka oleh ibu angkakku. Senyum dia bila melihat aku yang datang.
" Ni anak angkat mai ziarah ". Kata ibu angkat kepada suaminya. Aku dibawa masuk kedalam bilik dan bersalaman dengan bapa angkatku.
" Sakit lutut dan kaki pakcik ". Kata bapa angkatku. Aku memegang lutut dan kakinya. Terasa begitu panas. Memang sah gout sebab aku telah melalui pengalaman sakit gout.
" Memang sakit pakcik. Saya dah kena sampai menangis akibat tidak tahan sakit ". Kataku.
" Makcik pun tak tau nak buat apa dah. Budiman buat macam mana dulu ". Tanya ibu angkatku
" Dulu masa saya sakit makcik, saya menangis kesakitan sampai Aisyah pun tak tahu nak buat macam mana. Dia hanya mampu mengurut kaki saya sambil membaca ayat quran sehingga saya terlena. Sedar-sedar saya tengok dia tertidur atas kaki saya ". Cerita aku pada ibu serta ayah angkatku.
" Subhanallah. Syurgalah tempat Aisyah ". Kata ibu angkatku

" Budiman kurus sekarang. Diet ka. ". Tanya ibu angkatku.
" Betul la mak. Abang Budi dah kurus sekarang ni ". Kata anak gadisnya. Aku tersenyum sahaja.
" Makcik tau tak sebab apa saya kurus macam ni. Masa saya kahwin dengan Rosnah perasaan saya begitu sayu ketika melangkah keluar dari rumah kesayangan saya yang merupakan hasil perkongsian kasih dengan Aisyah menuju rumah Rosnah. Saya terlalu memikirkan anak-anak. Ketika makan saya tidak dapat menelan nasi. Ingatan saya terus teringat pada anak-anak. Apa yang mereka makan. Apa yang mereka sedang buat ketika ini. Ayah makan sedap tapi kedua-dua anak saya makan apa ". Aku melihat ibu angkatku menyeka airmatanya.

" Anak-anak Budiman tu bagus-bagus ". Kata ibu angkatku
" Betul makcik. Saya bersyukur mempunyai 2 orang anak yang tidak mementingkan diri sendiri ". Kataku pada ibu angkat.
" Selama 2 tahun saya memendam perasaan rindu pada anak-anak. Walaupun jarak rumah pertama dan kedua tidaklah jauh tapi saya rasa macam di pisahkan terlalu jauh. Saya hanya mampu menelan nasi sebesar nasi lemak saja. Akhirnya sudah menjadi kebiasaan saya. Bila makan sedap atau tidak hanya banyak itu saya yang boleh saya makan. Sebab itu badan saya susut sekarang. Semasa bersama dengan arwah saya kerap mengalami sakit kaki dan batu karang. Yang saya sedar dan bersyukur bila Allah duga saya dengan kematian Aishah memang saya amat tersiksa sekali hingga saya berdoa agar Allah mengambil nyawa saya juga. Allah itu maha kaya makcik. Ketika saya sedih itu Allah beri sedikit kegembiraan kepada saya. Allah menarik sedikit kesakitan pada diri saya. Alhamdulillah saya rasa sihat sekarang ". Aku menghabiskan ceritaku. Mengalir airmata mereka mendengar kisah aku. Belum pernah aku ceritakan kisah ini kepada sesiapa pun. Semuanya aku simpan didalam hati saja. Bila aku rasa tertekan maka kameralah menjadi sahabatku.

" Allah sayang dekat Budiman. Budiman dan Aishah banyak bantu surau. Semoga syurgalah tempat Budiman dan Aishah. Semoga anak-anak Budiman berjaya dunia dan akhirat ". Kata ibu angkatku. Akhirnya aku meminta diri untuk pulang kerumah. Hati merasa lega bila aku dapat meluahkan perasaan yang terbuku selama 2 tahun lebih. Semoga Allah permudahkan kami sekeluarga. Aku doakan semoga kedua-dua anakku mendapat kebahgiaan di dunia dan di akhirat In Sya Allah.

Saturday, June 08, 2013

Tolong Doakan Mereka

Tentu pembaca masih ingat akan kisahku bersama arwah Siti Aishah. Semua pengalaman itu telah aku nukilkan di dalam blog kesayanganku dan kisahnya disini. Banyak yang menghantar personal mesej kepadaku memberi semangat. Syukur alhamdulillah dan ucapan terima kasih aku kepada mereka. Ada pembaca blogku terus menjadi kawanku di FB. Baru-baru ada seorang pembaca yang menghantar request untuk menjadi friend dan aku terimanya sebagai friend. Dalam mesej ringkas dia perkenalkan diri sebagai Az. Terima kasih. Itulah yang sepatutnya berlaku. Bila kita meminta request dan di terima maka tegurlah dan perkenalkan diri. Janganlah kita diam seribu bahasa setelah di terima sebagai friend. Aku meminta keizinan dari Az untuk menulis kisahnya yang ada persamaanya dengan arwah isteriku. Az mengizinkan ceritanya dikongsi. Bukanlah tujuanku untuk mengaibkan sesiapa tapi biarlah ia mendapat iktibar dari mereka yang membaca akan kisah ini.

Kehidupan Az dan suaminya amat bahagia sekali. Pernah Az menceritakan kepada aku kadang- kadang di dalam rumah mereka terbau seperti orang membakar sesuatu. Beliau bertanya kepadaku apa yang perlu dilakukan. Aku hanya mampu memintanya membaca Al Mathurat. Selepas dari peristiwa itu suaminya jatuh sakit. Suaminya telah di masukkan ke hospital namun doktor tidak dapat mengesan penyakitnya. Sudah banyak ubat telah dihabiskan namun tiada kesannya. Terus memoriku berputar kembali. Isteriku Siti Aishah telah mengalami batuk yang teruk. Kadang kala batuknya beserta dengan darah yang pekat. Menangis isteriku kesakitan selepas batuk darah. Akhirnya isteriku dimasukkan ke dalam hospital. Doktor tidak dapat mengesan penyakit. Maka doktor hanya mengesyaki batuk kering dan TB. Ujian telah dilakukan dan keputusannya ialah negatif dari penyakit batuk kering dan TB. Ubat sudah banyak dimakan. Tiada tanda- tanda penyakit berkurangan.

Berbalik kepada cerita suami Az. Akhirnya Az menyedari apabila teringat akan kisah isteriku. Mereka telah berjumpa dengan ustaz. Sebanyak 4 orang ustaz mengatakan yang suami Az telah disihir dan terdapat 3 ekor jin dibadan suaminya. Sama seperti kes isteriku. 3 orang ustaz mengatakan yang isteriku telah disihir dengan menggunakan santau. Sebanyak 2 ekor jin mengawal isteriku. Badan sudah semakin kurus,. Apa yang dimakan akan diluahkan kembali beserta lendir. Sama dengan arwah isteriku. Aku terharu melihat penderitaan isteriku. Bila diminta makan isteriku pasti geleng kepala tidak mahu. Bila dipujuk akhirnya digagahi jugak. Akhirnya muntah berserta lendir dan darah yang keluar. Menangis isteriku kesakitan. Ketika itu mahu saja aku menangis kuat. Memang zalim mereka yang melakukan sihir ini. Aku terpaksa mengawal emosiku. Isteriku amat memerlukan aku. Aku hanya menangis ketika berada didalam tandas. Aku tidak mahu menangis didepannya walaupun kadang-kadang airmata mengalir juga bila melihat dalam kesakitan isteriku gagahi juga solat. Selepas memberi salam dia akan jatuh pengsan. Aku dan anak-anak terpaksa berada dikiri, kanan serta belakang. Nasib la arah mana yang isteriku akan rebah. Begitulah berlaku setiap kali isteriku solat.

Walaupun Az tertekan dengan ujian yang menimpa keluarganya, dia masih mampu menahan dugaan ini. Di saat ini seseorang kena menunjukkan reaksi tidak mengalah. Itulah yang Az lakukan. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya dihadapan suaminya. Begitu juga apa yang aku lalui. Aku terpaksa menghiburkan hati isteriku walaupun aku tahu dia amat terseksa sekali. Aku perlu kuatkan semangatnya. kami amat memerlukan keadaan seperti sediakala yang penuh dengan gelak ketawa. Az tidak mahu suaminya putus harapan. Az perlu kuatkan semangatnya.

Alhamdulillah. Berkat ihktiar dan kesabaran Az suaminya beransur sembuh. Isteri mana yang tidak sedih bila melihat badan suami yang semakin kurus. Isteri mana yang tidak berduka bila melihat bagaimana suami kesayangannya menerima ujian. Hanya kepada Allah saja tempat mengadu. Kepada mereka yang membaca kisah ini marilah sama-sama berdoa kepada Allah semoga Az dan suaminya dalam peliharaan Allah. Hari ini kita tolong doakan untuk orang lain. In sya Allah mungkin suatu hari orang lain akan mendoakan kaum keluarga kita juga. Aku sudah merasai betapa lazatnya ukhwah. Ramai yang tolong mendoakan agar isteriku sembuh dengan segera tapi manusia merancang dan Allah juga merancang. Perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Isteriku pergi buat selama-lamanya.

Kepada pembaca, inilah pesananku. Walaupun kita menganggap rakan kita sangat baik tapi berhati-hatilah ketika keluar makan. Kalau hendak ketandas atau kemana-mana pastikan di habis semua makanan dan minuman. Jangan tinggal dan pergi. Kemudian balik semula dan sambung kembali makanan dan minuman kita. Ketika inilah mereka yang berniat jahat terhadap kita akan melakukan sesuatu. Disebabkan kita lalai maka akibatnya kita akan menanggungnya. Ingat....

Marilah kita sama-sama mendoakan agar suami Az cepat sembuh dan kembali seperti sediakala. Kepada Az sabarlah dengan ujian yang Az tempuh ini. In sya allah keadaan akan kembali seperti sediakala. Terima kasih kerana mengizinkan WN berkongsi kisah ini. Semoga Az sekeluarga dalam peliharaan Allah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...